Ziarah, doa dan khabar gembira Ummu Haram binti Milhan R.A.

Ummu Haram ialah ibu saudara kepada Anas ibnu Malik dan isteri kepada seorang sahabat yang mulia bernama Ubadah ibn Somit. Dia juga salah seorang ibu saudara sesusuan Rasulullah s.a.w.

Bahawa Rasulullah s.a.w. selalu menyempatkan diri untuk datang ke masjid Quba. Kadang-kadang Rasulullah datang dengan mengenderai untanya dan kadang-kadang berjalan kaki. Kemudian Rasulullah solat sunat dua rakaat di dalamnya. Masjid Quba adalah masjid yang didirikan oleh Rasulullah atas dasar taqwa kepada Allah. Seperti halnya yang tertera dalam firman Allah: “Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya.”

Dengan keberkatan (Quba) inilah Ummu Haram menetap dan dianggap sebagai penghuninya (ahlu). Ia memiliki kedudukan yang terhormat di sisi Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan bahawa Rasulullah sangat menghormatinya dan pernah menjenguknya di rumahnya serta tidur siang di dalamnya. Bahkan ada kalanya baginda solat di rumah Ummu Haram.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Anas ibn Malik berkata, “Bahawa pada suatu ketika Rasulullah s.a.w. datang ke rumah kami. Di dalamnya tidak ada orang kecuali saya, ibuku (Ummu Sulaim) dan bibiku Ummu Haram. Rasulullah berkata, “Bangunlah kamu semua, saya akan solat bersama kamu semua.” Ketika itu waktu solat belum masuk. Kemudian Rasulullah solat bersama kami dan baginda mendoakan kami untuk mendapatkan kebaikan dunia dan akhirat.”

Ketika kunjungan Rasulullah ke rumah Ummu Haram, beliau menyiapkan makanan untuk baginda. Setelah makan, Ummu Haram duduk di sisi Rasulullah membersihkan kepalanya. Kemudian Rasulullah tertidur. Ketika Rasulullah terbangun, baginda tersenyum, lalu Ummu Haram bertanya kenapa baginda tersenyum. Baginda kemudian menyampaikan berita gembira kepada Ummu Haram bahawa ia akan mati syahid. Sejak itu Ummu Haram selalu dipanggil dengan sebutan syahidah (wanita yang mati syahid).